Bubur Jagung Bersagu

Selamat berpuasa buat semua pengunjung blog resepiraidah..Agak terlalu lewat untuk mengucapkannya..Sebenarnya saya sekarang masih didalam pantang selepas melahirkan cahayamata yang ke 6 pada 25 Julai yang lalu..Walaupun masih didalam pantang, kuih muih, bubur saya buatkan juga untuk anak2 dan ayahnya..Kesian pulak kat sini mana ada pasar/bazar ramadhan untuk membeli juadah berbuka..Bubur jagung bersagu ini adalah resepi yang amat senang untuk disediakan..


Bahan-bahan:

3 cawan jagung (saya guna jagung beku yang jual dipasaraya)
3 sudu besar sagu ~ saya rebus dahulu sagu sehingga jernih, basuh dan rendamkan didalam air sebelum dimasukkan ke dalam bubur
250ml santan
Air secukupnya
1/2 cawan gula merah
Gula pasir secukupnya
2 helai daun pandan ~ dikoyak dan disimpulkan
Sedikit garam.


Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali sagu ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dengan api yang sederhana supaya santan tidak pecah minyak.
2. Masukkan sagu yang telah direbus, rasakan manis lemak secukupnya. Bolehlah tutup api dan sedia dihidangkan.

***Saya suka rebus dan basuh dahulu sagu sebelum dimasukkan ke dalam bubur yang dimasak supaya kuah bubur tidak menjadi terlalu pekat dan proses memasak bubur pun mengambil masa yang singkat.

Ketupat Sotong ~ Versi Tidak Pedas

Ketupat sotong yang tidak pedas ini buat untuk anak-anak yang tidak makan pedas..Bolehlah cuba untuk juadah berbuka puasa..


Bahan-bahan:

1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
6 ekor sotong ~ buang selaput/kulit luar, bersih dan toskan
2 cawan santan pekat
3 biji bawang merah ~ dihiris
1/2 inci halia ~ dihiris
1 sudu kecil halba
Garam dan gula secukupnya
Lidi (saya guna lidi satay)

Cara penyediaan:

1. Masak/kukus beras pulut dengan santan cair sehingga separuh masak. Setelah agak sejuk, sumbatkan ke dalam sotong. Jangan terlalu penuh/padat, lebih kurang 3/4 badan sotong.
2. Kemudian masukkan kepala sotong dalam badan sotong tersebut dan sematkan/tutup dengan lidi supaya pulut tidak terkeluar.
3. Masak sotong tersebut dengan 2 cawan santan pekat dengan menggunakan api yang sederhana.
4. Apabila kuah mendidih, masukkan bawang, halia, halba, garam dan gula secukupnya.
5. Masak sehingga kuah agak pekat atau bergantung pada citarasa.


Related Posts with Thumbnails

Resepi Raidah © 2013. Blog Dikendalikan Oleh SyurgaDiDunia.